Cura Si Manjakini

Cura Si Manjakini (Jawi: ڤدڠ چورا سي منجاکيني) ialah sebilah pedang yang disebut di dalam teks Sejarah Melayu, kepunyaan Maharaja Sang Sapurba iaitu nenek moyang legenda Raja-Raja Melayu. Selama ratusan tahun, pedang ini menjadi simbol kedaulatan dan kekuasaan dalam budaya Melayu. Ia diwariskan kepada Sang Nila Utama iaitu pengasas Kerajaan Singapura Lama, kemudiannya kepada Parameswara pemerintah pertama Kesultanan Melaka, dan seterusnya kepada Muzaffar Syah I, Sultan Perak pertama. Pedang tersebut kini merupakan sebahagian daripada alat kebesaran Kesultanan Perak.[1]